Adakah Analisis Teknikal berkesan?

analisa teknikal

Sebahagian trader dan pelabur percaya bahawa analisis teknikal merupakan sesuatu yang sangat “powerful” jika dikuasai akan menghasilkan keuntungan yang lumayan. Manakala ada segelintir trader dan pelabur yang lain mengatakan bahawa analisis teknikal ini indah khabar dari rupa akan kerana tiada sandaran yang kukuh melain hanya kajian pada pergerakan harga yang lepas semata-mata serta tiada hasil yang menguntungkan daripadanya. Dua sudut pandang yang berbeza dikalangan pelabur ini telah menyebabkan banyak salah faham mengenai analisis teknikal ini.

Antara salah faham yang berlaku mengenai analisis teknikal ini adalah dari sudut pembelajaran dan pemahaman. Sebagai contoh, pelabur yang belajar dan mahir untuk hanya menggunakan ilmu analisis fundamental semata-mata, mungkin tidak akan mengakui analisis teknikal sama sekali. Tetapi ia tidak bermaksud seseorang yang belajar dan mahir dalam ilmu analisis teknikal tidak dapat menggunakannya dengan menguntungkan.

Salah faham lain pula adalah dari sudut praktikal dan pengalaman. Sebagai contoh, penggunaan indikator teknikal dengan cara yang salah akan menyebabkan kerugian. Ini tidak semestinya bermaksud kaedah ini teruk, tidak betul dan tidak boleh digunakan. Untuk menggunakannya dengan betul dan tepat, pelabur perlu untuk berlatih dengan lebih banyak sehingga betul-betul mahir.

Salah faham lain yang wujud dan sering didengari adalah dari sudut tanggapan orang awam. Perkara ini timbul akibat dari teknik pemasaran (marketing) yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menarik orang melabur. Ada yang terlalu ‘overpormised’ menjanjikan bulan bintang mengatakan boleh untung dan kaya dengan cepat. Perlu untuk kita faham di dalam pelaburan jarang sekali untuk mendapatkan hasil yang berlipat kali ganda dengan cepat. Pelaburan tidak semudah itu kerana melibatkan risiko serta untung dan rugi,

Adakah analisis teknikal hanya untuk short-term trader atau day trader sahaja?

Kebiasaannya kita dengar bahawa analisis teknikal ini hanya sesuai digunakan oleh orang yang melabur dengan kerap dalam jangka masa yang singkat seperti short-term trader dan day trader.

Sebenarnya analisis teknikal telah lama digunakan untuk time frame yang berbeza-beza dari 1 minit, harian, mingguan mahupun bulanan mengikut kesesuaian pelaburan individu. Ini menunjukkan bahawa analisis teknikal ini sesuai untuk semua lapisan pelabur tidak kira anda merupakan day trader atau swing trader mahupun pelabur jangka masa Panjang. Tambahan pula sebahagian dari pelopor bagi analisis teknikal ini merupakan long-term trader dan investor, bukan day trader.

Adakah analisis teknikal ini hanya digunakan oleh pelabur runcit?

Selain pelabur runcit, “smart money” dan pelabur institusi seperti bank pelaburan turut kerap menggunakan analisis teknikal. Pelabur institusi ini mempunyai pasukan trader khas yang menggunakan analisis teknikal. Jual dan beli saham daripada pelabur institusi yang berlaku dengan frekuensi tinggi dan merupakan sebahagian jumlah yang besar dari dagangan Bursa saham sudah tentu turut bergantung pada konsep analisis teknikal.

Adakah analisis teknikal ini sudah mencukupi dan semudah yang disangka?

Sumber untuk belajar pada era moden ini sangat mudah untuk dicapai sama ada dari segi bahan bacaan, video, kelas atas talian mahupun sifu-sifu untuk rujukan hanya dihujung jari sahaja. Pelabur-pelabur baharu juga yang baru melangkah masuk ke dalam pasaran saham dan pelaburan boleh memanfaatkan analisis teknikal yang mudah serta ringkas untuk permulaan. Namun, untuk mengekalkan prestasi ini bagi jangka masa panjang memerlukan pelabur untuk belajar dengan lebih mendalam serta praktikkan ilmu-ilmu tersebut untuk meningkatkan kemahiran dan pengalaman.

Tidak cukup dengan itu sahaja, pelabur juga perlu untuk disiplin dan menerapkan pengurusan kewangan yang baik untuk mengelakkan kerugian yang besar. Perlu juga untuk difahami bahawa analisis teknikal hanyalah salah satu cabang dari cabang ilmu pelaburan sahaja.

Adakah perisian aplikasi ataupon “screener” analisis teknikal mampu untuk menjana keuntungan mudah?

Malang sekali ia tidak seperti yang dijangkakan. Terdapat pelbagai iklan yang kita dapat lihat ada yang murah, ada yang mahal dan ada yang percuma sahaja yang menjanjikan keuntungan. Perkara ini menjadikan sebahagian besar orang awam keliru dan menganggap hasil daripada screener, ataupun perisian analisis teknikal ini merupakan output akhir yang mana boleh digunakan terus untuk labur dan untung. Ada yang berfikiran bahawa ia merupakan satu model pelaburan yang dijamin untung.

Namun aplikasi-aplikasi ini hanya memberikan gambaran bagi corak dan trend pergerakan harga sahaja. Selebihnya adalah tugas pelabur untuk mentafsirkan maklumat-maklumat yang diterima dengan baik dan tepat.

Adakah strategi yang sama boleh digunakan pada setiap situasi yang berbeza?

Kesilapan yang sering pelabur terlepas pandang adalah menggunakan strategi dan teknik yang sama untuk setiap situasi. Akan tetapi analisis teknikal tidak berfungsi sebegitu, ada perubahan-perubahan yang perlu disesuaikan dengan situasi. Sebagai contoh jika pasaran sedang melakukan uptrend strateginya berbeza, ketika downtrend strateginya berbeza dan begitu juga ketika fasa sideway. Pendekatan yang digunakan juga perlulah berbeza mengikut objektif pelaburan sama ada ingin daytrade, swing atau long-term.

Analisis teknikal mempunyai ketepatan yang tinggi.

Pelabur baharu kebanyakannya menyangka hasil dari analisis teknikal adalah 100% tepat. Sebagai contoh, anggaran yang spesifik seperti saham XYZ akan capai harga RM 3.30 dalam 3 bulan akan datang. Berlainan pula dengan pelabur yang lebih berpengalaman akan mengelakkan anggaran harga yang terlalu spesifik. Mereka akan menggunakan anggaran harga dalam jarak yang tertentu daripada membuat anggaran yang spesifik pada satu titik. Sebagai contoh saham XYZ mungkin akan bergerak ke harga RM 3.05 hingga RM 3.55 dalam tempoh tiga ke empat bulan.

Analisis teknikal memberikan anggaran harga dalam jarak tertentu, bukan anggaran spesifik pada satu titik sahaja. Ia juga bermain dengan kebarangkalian dan kemungkinan dan tiada jaminan untuk tepat 100%.

Penutup

Sebagai penggulung bagi perkongsian admin pada penulisan kali ini, admin ingin tekankan bahawa analisis teknikal merupakan salah satu “tools” atau konsep yang digunakan dalam pelaburan. Ada pelabur yang berjaya hasil daripada bantuan analisis teknikal, dan ada juga yang berjaya tanpa menggunakannya.

Bergantung kepada individu untuk menggunakan pendekatan yang tersendiri mengikut kesesuaian masing-masing dalam menggunakan analisis teknikal. Tiada jaminan untuk dapat ketepatan yang tinggi dan untung dengan cepat. Akan tetapi dengan ilmu dan kefahaman yang betul disertakan dengan latihan dan praktikal yang mencukupi, ia mampu memberikan hasil yang realistik.

Apa pandangan anda? Adakah anda berminat nak tahu macam mana nak buat duit daripada saham? Tinggalkan komen anda di ruangan komen.

Berminat dengan saham? Tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan rasional ketika melabur? Tips untuk mengelakkan anda dari sentiasa rugi? Ikuti media sosial SmartSaham di Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram atau SMARTSAHAM ACADEMY OFFICIAL di Youtube.

Anda akan diperkenalkan pelbagai ilmu untuk melahirkan trader yang versatile, berkeyakinan, bijak dan matang dalam trade. Jom, apa tunggu lagi!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *